Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024: Penghargaan kepada Murid Cemerlang Sekolah Rendah Ibn Khaldun
Shah Alam, 16 Januari 2025 – Sekolah Rendah Ibn Khaldun telah mengadakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024, satu inisiatif tahunan bagi menghargai pencapaian murid dalam bidang akademik, kepimpinan, kokurikulum, dan sahsiah.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Penolong Amil Lembaga Zakat Selangor, En. Zulkifli bin Jamal, yang menegaskan bahawa kecemerlangan pendidikan bukan hanya tanggungjawab sekolah semata-mata, tetapi turut bergantung kepada sokongan masyarakat, termasuk melalui pembayaran zakat. Beliau turut mengumumkan bahawa tajaan berjumlah RM800 telah disalurkan sebagai penghargaan kepada penerima Anugerah Kecemerlangan, hasil daripada zakat yang dibayar oleh ibu bapa dan masyarakat melalui Penolong Amil Sekolah Ibn Khaldun.
Antara penerima anugerah dalam majlis ini ialah:
🏆 Anugerah Tokoh Pelajar Cemerlang – 2 penerima (1 putera, 1 puteri)
🏆 Anugerah Tokoh Kepimpinan – 2 penerima (1 putera, 1 puteri)
🏆 Anugerah Tokoh Kokurikulum – 2 penerima (1 putera, 1 puteri)
🏆 Anugerah Tokoh Sahsiah Terpuji – 2 penerima (1 putera, 1 puteri)
Dalam ucapannya, En. Zulkifli bin Jamal turut menyeru semua ibu bapa untuk menunaikan zakat melalui sekolah, agar lebih ramai murid yang layak dapat menerima manfaat daripada sumbangan ini.
“Pendidikan berkualiti memerlukan sokongan berterusan, dan zakat adalah salah satu sumber yang boleh membantu anak-anak kita mencapai kecemerlangan. Kami berharap lebih ramai ibu bapa memilih untuk menyalurkan zakat mereka melalui Penolong Amil Sekolah Ibn Khaldun, supaya manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai penerima,” katanya.
Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan berharap usaha ini dapat diteruskan demi pembangunan pendidikan yang lebih mampan dan inklusif.